Monday 30 July 2012


Menyusu badan dalam bulan Ramadan

Ditulis untuk BabyCenter Malaysia

Perlukah saya berpuasa semasa menyusu badan? 

Jika anda menyusu badan, anda tidak diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan. Kebanyakan sarjana Islam percaya bahawa wanita yang menyusukan, seperti juga wanita yang tidak sihat atau sedang bermusafir, dibenarkan untuk tidak berpuasa. Malah, ramai yang mengatakan adalah salah untuk tidak menghiraukan kelonggaran ini dengan berpuasa jika anda tidak perlu berbuat begitu. 

Namun begitu, keputusan samada hendak berpuasa atau tidak bergantung kepada beberapa perkara, dan usia bayi adalah pertimbangan utama. Memang ada perbezaan di antara bayi yang masih kecil dan hanya menyusu, dengan bayi berusiasatu tahun yang sihat dan sudah makan makanan lain dan menyusu hanya pada waktu malam. Berbincanglah dengan ibu-ibu lain dalam keluarga anda mengenai apa yang mereka lakukan dan pengalaman mereka dalam hal itu. Hubungi doktor, perunding penyusuan atau ahli agama untuk mendapat lebih keyakinan dalam membuat keputusan. 

Adakah berpuasa semasa menyusukan akan membahayakan bayi saya? 

Tidak. Berpuasa tidak membahayakan bayi kerana badan anda masih bolehmenghasilkan susu semasa anda berpuasa. Kurang pengambilan kalori sepatutnya tidak menjejaskan jumlah susu yang dihasilkan. 

Malah, walaupun wanita yang menyusu badan itu tidak makan apa-apa selama 24 jam, ia masih tidak menjejaskan kuantiti dan nilai nutrisi susu mereka. Jika terdapat kesan berpuasa terhadap badan anda, anda pasti sudah merasainya terlebih dahulu dan tentu sekali anda perlu menghentikan puasa sebelum kesan itu menjejaskan penghasilan susu. 

Adakah perubahan dalam susu badan akan memberi kesan ke atas bayi saya? 

Perubahan dalam susu badan anda tidak akan memberi kesan ke atas bayi. Dia sudahpun dapat menerima perubahan-perubahan kecil pada susu anda bergantung kepada apa yang anda makan dan berapa banyak dia perlu menyusu. Kajian menunjukkan bahawa walaupun si ibu berpuasa selama 24 jam, kandungan lemak dalam susunya tidak akan berubah. 

Jika anda makan terlalu sedikit dan berat badan mula turun, jenis lemak dalam susu anda mungkin berubah, tetapi jumlahnya tidak berubah. Walaupun payudara itu sendiri boleh menghasilkan lemak susu, jenis-jenis lemak yang lain akan diperolehi daripada simpanan lemak dalam badan anda sekiranya ia tidak diperolehi melalui pemakanan anda. 

Adakah berpuasa semasa menyusukan membahayakan saya? 

Badan anda biasanya dapat bertahan jika anda berpuasa. Dalam satu kajian, ujian darah dilakukan terhadap sekumpulan kecil wanita yang berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Wanita yang menyusu badan didapati mempunyai imbangan kimia dalam darah yang agak sama dengan mereka yang tidak menyusu badan atau yang sedang hamil. 

Walau bagaimanapun, menyusu badan membuatkan anda sangat dahaga. Jika anda ternyahhidrat, anda akan rasa tidak sihat. Anda boleh mengagak bahawa anda sedang ternyahhidrat apabila:
  • anda rasa sangat dahaga;
  • air kencing anda berwarna gelap dan berbau kuat;
  • anda rasa seperti hendak pitam, lemah atau lesu;
  • anda mula sakit kepala atau mengalami kesakitan lain.
Jika anda mula sedar akan tanda-tanda ini, anda harus berbuka dengan meminum air dan berehat. Selepas setengah jam, jika anda masih rasa tidak sihat, hubungilah doktor anda. 

Minum banyak air semasa berbuka dan terutamanya semasa sahur. Ahli panel pakar BabyCenter dan kaunselor penyusuan badan, Jennifer Hor, menyarankan anda makan makanan yang mempunyai indeks glicemik (glycemic index - GI) yang rendah. GI ialah unit pengiraan bagi kesan karbohidrat pada tahap gula dalam darah. Karbohidrat yang terurai dengan cepat semasa penghadaman mempunyai GI yang tinggi manakala karbohidrat yang terurai lebih lambat dan melepaskan glukosa secara beransur-ansur ke dalam darah mempunyai GI yang rendah. Makanan yang rendah GI termasuk banyak jenis sayur-sayuran dan kekacang, kacang pis, mi dan nasi. 

Jangan sekadar minum sahaja. Penting untuk anda mendapatkan nutrien, kalori dan serat daripada makanan. Jika sukar untuk anda makan secukupnya pada waktu malam dan anda berat badan anda mula turun, bincanglah dengan doktor anda. Anda juga mungkin perlu untuk tidak berpuasa. 

Walau bagaimanapun, jika anda sihat dan tidak kisah berat badan anda turun sedikit, penurunan sehingga 1kg seminggu sepanjang bulan Ramadan sepatutnya tidak menjejaskan penghasilan susu. 

Apakah yang boleh saya lakukan untuk mengelakkan sebarang masalah? 

Membuat persiapan untuk berpuasa boleh membantu anda mengelakkan masalah-masalah yang mungkin berlaku:
  • Beli barang keperluan dan buat kerja-kerja rumah yang lebih berat sebelum anda mula berpuasa.
  • Simpan diari makanan supaya anda boleh memastikan anda makan dan minum dengan cukup pada waktu malam.
  • Berehat dan duduk di tempat sejuk sebanyak mungkin pada waktu siang.

Bilakah saya harus meminta bantuan? 

Jika anda mula rasa tidak sihat atau mula ternyahhidrat, hubungilah doktor anda. Jika anda bimbang samada bayi anda mendapat susu yang cukup ataupun tidak, dapatkanlah nasihat daripada doktor atau pakar kanak-kanak. Tanda-tanda bayi tidak mendapat cukup susu termasuk:
  • kurang membuang air (bayi baru lahir sepatutnya buang air kecil beberapa kali sehari);
  • najis berwarna kehijauan;
  • tangisan yang nyaring dan berpanjangan atau kerap meragam;
  • turun berat badan atau berat badan tidak bertambah.
Jika masalah penyusuan badan berlaku, hubungilah kaunselor penyusuan badan atau penasihat laktasi. Mungkin ada seorang di hospital berdekatan anda, atau tanyalah doktor anda jika beliau boleh mencadangkan seseorang. Anda juga boleh mencari sumber tambahan dalam Direktori Penyusuan Badan A-Z kami. 

Berbuallah dengan ibu-ibu lain yang turut menyusu badan! Anda boleh jumpa mereka hari ini dalam forum Komuniti kami. 
disunting dari         BabyCenter® Malaysia - The most complete online resource for new and expectant parents


Tip-tip kesihatan semasa hamil dan berpuasa

Ditulis untuk BabyCenter Malaysia

Bagaimana saya boleh mengekalkan kesihatan semasa hamil dan berpuasa? 

Jika anda berpuasa, tentu sekali anda tidak boleh makan sekerap biasa, tetapi anda masih boleh makan lebih daripada dua kali di antara masa berbuka dan sahur. Hidangan makanan yang seimbang dan berkhasiat akan membantu mengekalkan berat badan dan mengelakkan masalah-masalah seperti sembelitsakit kepala,ketakcernaan, lesu dan pedih ulu hati yang kesemuanya merupakan simptom-simptom biasa semasa hamil. 

Apakah cara terbaik bagi wanita hamil berbuka puasa? 

Tiada pelan makanan khas yang perlu anda ikuti, tetapi anda boleh mencuba tip-tip berikut sebagai cara terbaik untuk berbuka. Mulakan dengan:
  • tiga biji kurma dan jus (bagus untuk menormalkan semula tahap gula yang rendah dalam darah);
  • susu atau yogurt rendah lemak;
  • sup jernih.
Kemudian, makanlah hidangan seimbang yang mengandungi:
  • sepinggan salad atau ulam-ulaman sebagai hidangan pembuka selera;
  • protein daripada ayam, daging atau ikan, atau lentil, kacang pis atau kekacang;
  • karbohidrat kompleks daripada nasi beras perang dan roti bijian penuh;
  • dan, banyak sayur-sayuran.
Elakkan hidangan berlemak tinggi untuk mencegah pertambahan berat, pengambilan makanan kurang berkhasiat dan mengalami ketakcernaan

Apakah saya perlu makan sahur jika saya berpuasa semasa hamil? 

Bersahur sangat penting jika anda berpuasa. Ia akan mengekalkan tahap tenaga anda pada waktu siang. Jangan tinggalkan sahur kerana ia dapat membekalkan anda dengan nutrien-nutrien penting dan tenaga yang anda perlukan untuk kekal cergas pada waktu siang. Ia juga akan mengurangkan simptom-simptom kelaparan seperti sakit kepala dan mengantuk. 

Hidangan sahur yang sihat mungkin mengandungi:
  • nasi beras perang dan roti bijian penuh dengan kari atau korma cair;
  • bijirin berserat tinggi atau bran dengan susu skim rendah lemak;
  • dan, buah-buahan termasuk buah kurma dan pisang.
Elakkan meminum teh semasa sahur kerana ia boleh membuat anda ternyahhidrat.

Saya suka minum kopi dan/atau teh selepas berbuka. Bagaimana saya boleh menggantikannya? 

Minumlah jus buah-buahan segar dan bukannya minuman bergas, kopi atau teh. Minuman smoothie yang mengandungi susu, yogurt, ais dan buah adalah minuman yang menyegarkan dan membekalkan banyak keperluan buah-buahan harian anda. Sup sayur-sayuran pula membolehkan anda makan sayur-sayuran berbeza dan memberi vitamin, mineral dan serat tambahan dalam diet anda. 

Apakah yang perlu saya masukkan dan elakkan dalam diet saya semasa Ramadan? 

Untuk mengekalkan kesihatan semasa berpuasa, amalkanlah tip-tip di atas semasa makan, dan:
  • Selepas berbuka, berehat seketika, kemudian bangun dan berjalan-jalan. Lakukanlah aktiviti-aktiviti ringan.
  • Elakkan makan pada lewat malam sebelum tidur, tetapi pastikan anda bangun dan makan sahur.
  • Minum banyak air selepas berbuka dan sebelum bersahur untuk mengelakkan nyahhidrat.


disunting dari       BabyCenter® Malaysia - The most complete online resource for new and expectant parents